Jumat, 07 Mei 2010

Angkara fitnah, dusta Abu Sa’dah jadi buta...

SAAD bin Abi Waqqas adalah seorang pemimpin Islam yang mentadbir Iraq pada zaman Khalifah Umar bin Al-Khattab.


Sebelum dilantik menjadi pemimpin Iraq, tugas Saad seperti yang diperintahkan oleh Umar ialah untuk memerangi orang Parsi pada tahun 14 Hijrah. Berkat keizinan Allah dan semangat jihad Saad, Iraq berjaya ditakluki.

Kemudian Umar mengangkat Saad menjadi pemimpin di Kufah pada tahun 17 hingga 21 Hijrah.

Walaupun Saad memimpin wilayahnya dengan baik dan mengikut sunnah Islam, masih ada beberapa pihak yang tidak senang, dengki dan sanggup menjatuhkannya dengan menyebarkan fitnah mengenai cara kepimpinannya kepada Umar.

Beberapa pihak di Kufah mengadu kepada Umar bahawa Saad tidak sesuai menjadi imam solat kerana caranya berlainan seperti yang diajarkan oleh Rasulullah.

Umar musykil dengan fitnah itu kerana Saad adalah salah satu daripada orang kepercayaan Rasulullah dan tidak mungkin beliau akan melakukan perkara bidaah iaitu yang tidak diajar atau disampaikan oleh Nabi Muhammad kepada umatnya.

Ketika perkara itu dikemukakan oleh Umar, Saad hanya berkata: “Saya memimpin mereka solat sesuai dengan apa yang dicontohkan oleh Rasulullah.

“Saya tidak menambah atau menguranginya. Pada rakaat pertama, saya panjangkan bacaannya (maksudnya membaca surah pada rakaat pertama dan kedua) manakala pada rakaat yang terakhir, saya ringkaskan bacaannya (tidak membaca surah).”

Umar yang tegas dalam memimpin itu berkata: “Mungkin apa yang kamu katakan itu hanyalah pengakuan kamu saja.”

Kemudian beliau memerintahkan beberapa orang menyiasat perkara itu di Kufah.

Mereka berjumpa dengan beberapa kumpulan atau puak di masjid dan kawasan sekitar untuk menyelidiki dakwaan terhadap Saad. Setiap kumpulan yang ditemui itu memuji kepemimpinan Saad.

Namun, seorang daripada mereka yang ditemui di sebuah masjid iaitu Abu Sa’dah mencaci dan memburuk-burukkan kepemimpinan Saad.

Selepas bertanya kepadanya, Abu Sa’dah berkata: “Jika kamu bertanya mengenai Saad, aku mendapati dia adalah seorang yang tidak adil dalam menghukum orang yang bersengketa dan membahagikan harta serta tidak ikut serta dalam peperangan, sebaliknya hanya menyuruh saja.”

Saad menafikan dakwaan itu selepas diberitahu oleh Umar. Dia berkata sambil mengangkat kedua-dua tangannya untuk berdoa: “Ya Allah, kalau ternyata dia berdusta, maka butakanlah matanya, lanjutkan kemiskinannya dan biarkan dia mendapat fitnah.”

Tidak lama selepas itu, Abu Sa’dah tidak pernah ditemui lagi di masjid itu.

Beberapa orang yang pernah berjumpanya berkata, “Memang benar, Abu Sa’dah sudah buta matanya dan hidup miskin melarat.

Jika ada yang bertanya kepadanya: “Bagaimana kamu wahai Abu Sa’dah?”

Dia akan menjawab: “Saya ini adalah seorang tua yang hidup melarat. Saya sudah terkena doa Saad.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

~Doaku....-Haddad Alwi..~